Assalamualaikum semua. Tahun lepas pernahku menulis confession ke sini tentang kehidupan aku di hospital yang sibuk tak boleh bawa bincang. Sekarang hospital tempat aku bekerja ini masih sibuk tapi jenis kesibukan dah berubah sejak pandemic COVID. Kebanyakan wad ditukar kepada wad kuarantin untuk kes COVID. Ada juga wad yang bertukar menjadi ICU disebabkan jumlah pesakit COVID yang perlukan bantuan mesin bantuan pernafasan bertambah. Jadual kerja pula diubah ke 12 jam sehari semenjak PKP dimulakan.
Masuk minggu ketiga, hatiku sudah semakin kental. Setiap pagi sebaik sahaja melangkah keluar rumah, aku niatkan kerana Allah ta'ala. Hidup ini perlu seimbang, kita perlu berjaya di dunia dan di akhirat. Aku gembira dapat membantu merawat pesakit-pesakit di hospital. Tidak mengapalah jika perlu pakai PPE dan mandi beberapa kali sehari sekali pun. Aku bersyukur kerana bekerja bersama-sama pakar-pakar dan kawan-kawan yang sangat enthusiatic dan sering membantu antara satu sama lain. Lagipun, kerana kes COVID yang semakin menurun ini, kini selepas sebulan, kami tidak perlu lagi bekerja sehingga 12 jam setiap hari, hanya kerja lebih masa jika oncall sahaja.
Tatkala aku menulis ini, jumlah pesakit positif COVID yang kritikal di ICU masih ada tetapi berkurangan. Ada pesakit yang sudah sebulan lebih di ICU, sudah boleh di keluarkan tiub pernafasan dan kini menggunakan bantuan oxygen biasa (nasal prong). Beberapa hari lalu, ketika aku oncall di ICU COVID, nurse memberitahuku pesakit tersebut tidak mendengar arahan dan sering mencabut wayar monitor dan oxygen yang diberikan. Aku berinteraksi dengannya yang pada mulanya dia tidak mahu berbicara. Sedih raut wajahnya. Aku tahu dia sedih dan mahu pulang bersama keluarga.
"Mak cik tak nak cakap dengan saya ke? Mak cik jangan sedih-sedih. Nak puasa dah lagi 4 hari. Mak cik kena kuat. Hari-hari kita telefon ahli keluarga mak cik untuk beritahu keadaan mak cik. Mereka ada kirim salam."
"Puasa?", tanyanya perlahan.
"Ya, mak cik. Nak masuk bulan Ramadhan dah ni. Mak cik nak apa-apa ke?
"Milo".
"Oh, naik air milo. Nanti saya suruh nurse tolong buatkan ya."
"Nak air kosong", bicaranya lagi.
"Boleh mak cik. Nanti kita bagi. Jangan sedih-sedih ya. Baca alfatihah, ayat kursi, selawat dan zikir banyak-banyak. Saya doakan mak cik cepat sihat"
Lega hati ini bila melihat wanita tersebut gembira minum air. Barulah terasa nikmat minum air katanya. Sebelum ini dia hanya diberi susu melalui tiub pemakanan (Ryle's tube) kerana badan dan gag reflex yang lemah. Hari itu, dia semakin pulih, tidak lagi tersedak ketika minum air. Alhamdulillah.
Alhamdulillah sekali lagi. Walaupun aku tidak dapat cuti lama seperti kalian, aku dapat berkhidmat untuk masyarakat. Sebak hati melihat jumlah kes harian kurang dari 100 dalam beberapa hari ini. Terima kasih semua, terima kasih rakyat Malaysia! Teruslah berada di rumah dan mendengar perintah KKM. Banyakkan berdoa dan bersedekah di Ramadhan yang mulia ini. Doaku supanya pandemic COVID ini cepat dapat dibendung dan ekonomi negara kembali pulih. Kita mesti menang pertarungan ini!
Jika aku bukan frontliners, tidak pula dapatku berkhidmat seperti Ustaz Ebit Lew. Usaha murni beliau yang sentiasa membantu masyarakat tidak kira agama dan bangsa membangkitkan lagi semangatku untuk terus berjuang membantu masyarakat. Teruskan usahamu, Ustaz! Andai ada yang betul-betul memerlukan bantuan, tulislah diruangan komen. Semoga dapat kita sama-sama membantu antara satu sama yang lain. Semoga niat suci dan usaha kita menjadi asbab rahmat dari Allah menempatkan kita di syurga, in shaa Allah. Salam Ramadhan al-Mubarak.
#kitajagakita #kitamestimenang
By Afi
Ingin menghantar confessions anda, sila submit disini (klik)
Advertisement