Hidup Mati Di Media Sosial - IIUM Confessions - Share your secret stories

Hidup Mati Di Media Sosial

- 8:03 pm
As salam. Aku harap apa aku katakan, orang dengar, orang fikir. Kalau dah fikir, sila ambik tindakan, jangan buat benda sama nanti tanpa ada perubahan positif. Waktu aku tulis karangan/coretan/teguran ini, Hari Ibu. Jadi secara alami, ramailah keluar dengan kenyataan-kenyataan dalam FB, Insta dll tentang menghargai pengorbanan seorang insan terbaik dalam sejarah bernama ibu. Aku terfikir – sebagai seorang anak, sebagai seorang manusia yang memerhati – antara kesilapan, keburukan, kekurangan BESAR generasi kita adalah hidup dan mati dalam sosial media. Aku bahagikan pada beberapa poin dan contoh apa aku nak cakap dan sampaikan.

1) Hari Ibu untuk bukan ibu (majoriti) tetapi untuk likes. Ok,kalau tanya, apa fungsi Hari Ibu ni? Secara amnya,orang akan jawap – untuk kita raikan kaum ibu, untuk kita tunjukkan penghargaan kita kepada ibu kita. Baiklah, aku terima benda yang baik. Memang bagus ide, niat dan tujuan di sebalik perayaan Hari Ibu ini. Tapi, tolong tanya diri sendiri, berapa ramai antara kita yang selalu hubungi mak? Seminggu berapa kali? Sebulan berapa kali? Call atau hanya meninggalkan pesanan ringkas lewat aplikasi Whatsapp? Bila di rumah, ada tolong mak buat kerja-kerja rumah?Kalau jawapannya tidak, apa yang anda sedang buat waktu itu? Goyang kaki main FB atau sebab ada hal penting yang sedang dilakukan?

Rumuskan soalan-soalan tadi – ADAKAH ANDA SUDAH CUKUP MENUNJUKKAN KASIH SAYANG DAN PENGHARGAAN TERHADAP INSAN YANG DIAGUNGKAN INI TADI?

Bercakap dari pengalaman sendiri, dan apa yang aku lihat, anak-anak sekarang malas. Nabi kata (tolong betulkan kalau aku tersilap, boleh kita sama-sama belajar dan maju ke hadapan) tanda akhir zaman, seorang hamba akan melahirkan tuannya. Boleh rujuk post-post yang sekarang menjadi trend di dalam laman ini, tentang orang perempuan yang malas. Banyak bercerita tentang anak menghambakan ibu bapa. (Jujur, aku rasa agak tahi lembu apabila orang kata kerja-kerja rumah anak perempuan saja yang patut buat. Wei, anak lelaki pun patut buat kerja dalam rumah. Aku yang lelaki pun balik rumah tolong mak. Tapi poin aku sekarang, memang banyak keluarga di mana anak senang lenang, mak bapak buat kerja).

Hidup Mati Di Media Sosial IIUM Confessions
Jadi untuk siapa coretan sepanjang 2000 patah perkataan yang kau buat di media sosial ini? Mak kau 99% tidak akan baca apa yang kau luahkan. - IIUM Confessions
Berbalik pada media sosial dan kaitannya dengan Hari Ibu, lagi sekali, ramai antara kita, kenalan-kenalan, kawan-kawan, adik-beradik (yang penting anda sendiri mesti ada kenal orang-orang ini) yang akan tulis dan siarkan di dinding mukabuku masing-masing tentang ibu, mak, amma, mama masing-masing. Tentang kehebatan si ibu tadi. Wahhh.. Tentang cerita ketika si ibu berlapar demi si anak. Syahdu.. Tentang bagaimana ketika baring di pangkuan mak, hilang segala masalah duniawi, diganti dengan hembusan angin lembut menyucikan hati yang penat menghadapi dunia yang tidak kenal akan erti kasih sayang. Dalam dunia yang bergelora ini, mak sahajalah tempat untuk mengintai indahnya syurga yang dijanjikan Allah kelak. MashaAllah..

Tapi, wei, aku serius bertanya, dengan 1001 kemusykilan dalam otak dan hati aku, insan agung yang kau ceritakan ini tadi bukan ada dalam mukabuku pun. Jadi untuk siapa coretan sepanjang 2000 patah perkataan yang kau buat di media sosial ini? Mak kau 99% tidak akan baca apa yang kau luahkan. OK, ada antara kita yang mak ayah ada FB, ok, aku terima, mungkin mereka akan baca.

Tapi, kalau kau hubungi mak ayah kau, cakap depan-depan apa kau rasa atas segala pengorbanan dan kasih sayang mereka selama ini, kau rasa mana yang akan lebih dihargai oleh mereka yang bernama mak ayah? 1 karangan di mukabuku panjang kira-kira 2000 patah perkataan berserta gambar menunjukkan sepasang suami isteri tersenyum dengan kehadiran anak di sisi, yang berjaya meraih 208239230 likes dari kawan-kawan, sahabat handai? ATAU… Kau cakap depan-depan dengan insan mulia ini – saya sayang mak/ayah – dan cium,peluk mereka?

Yang menambahkan geram di hati, orang-orang ini lah yang selalunya lepas post tentang kisah suci si ibu, masih tidak melakukan apa-apa untuk menghargai si ibu. Lantas, aku harus bertanya lagi, untuk siapa coretan mu itu? Atau cuma untuk mengaut likes?

(Sebelum aku dipersoal tentang cara aku layan mak babah, aku kalau balik rumah tolong mak buat kerja. Cuci pinggan,sapu rumah, cuci baju, lipat kain. Bab masak, aku memang kurang. Tapi aku masih masuk dapur tolong potong, tumbuk bawang. Dulu aku call mak setiap hari, tapi aku dah berhenti sebab mak rimas katanya. Kalau keluar jalan dengan mak, aku tak malu untuk cium pipi mak. Mak ja yang elak, malu sebab dah besar pun masih cium pipi. Bukan kata aku sempurna dalam layanan terhadap orang tua, masih jauh dari sempurna, tapi sekurang-kurangnya orang tua aku bukan hamba).

2) Seolah-olah macam diari. Haaa, yang ini memang ramai orang buat. Anda bosan? Kongsikan kebosanan anda dengan Insta story. Anda minum/makanan sedap? Pengikut-pengikut anda perlu tahu apakah makanan yang akan dihadam oleh sistem penghadaman anda dan anda bernasib baik kerana kita mempunyai mukabuku. Anda mempunyai tanggungjawap untuk memberitahu dunia anda akan keluar rumah untuk membeli minyak masak kerana jika ada manusia yang tidak mengetahui akan fakta penting ini, mereka berkemungkinan akan menghidap kanser tahap 4.

Aku tahu, aku memang sengaja bagi hyperbolasepak dalam contoh-contoh ini. Sekarang, apa benda yang kita tak beritakan pada dunia? Sebab rasanya aku dah tengok semua. Aku ada kenal 1 keluarga ini, memang hampir semua, anak beranak, apa-apa mereka buat, aku jamin akan disiarkan di FB. Secara harfiah, SEMUA. Pergi hantar anak ke sekolah,update FB. Beli sayur apa,update FB. Sakit perut,update FB.

Lagi 1, apa tujuan kau bagitahu semua ini?


Kau bosan, dah tu kau canang dalam sosmed yang kau bosan berlatarbelakangkan video pendek kau buat muka, kau dapat apa? Adakah jadi kurang bosan, gembira atau kosong tanpa apa-apa pulangan? Dan aku serius pening dengan cara fikir orang macam ini. Dulu, waktu sekolah rendah, yang perempuan ada seorang 2 akan buat diari. Tampal sticker macam-macam di muka depan buku, antara yang agak lazim, sticker Backstreet Boys dan Westlife (maklumlah, waktu tu 2 band ini mula cipta nama). Malu bila orang baca. Kadang-kadang yang lelaki kalau nakal, dicuri diari tu, bawa berlari keliling kelas sambil perempuan tadi kejar. Kalau ada jahat lagi, siap buat pengumuman macam pengumuman puasa.

“Saya, Karim Hj Elias sebagai pemegang cap mohor diari Salmah binti Hj Yakub, mengumumkan bahawasanya pada mukasurat 23, bertarikh 28 Jun 1998, Salmah telah menzahirkan perasaannya kepada Ismail Hj Lapong dengan ayat berbunyi ‘aku rasa berdebar-debar tatkala melihat Ismail. Wallet Aliennya dan kaset lagu-lagu yang dia rakam, memang cool gila’. Sekian, saya yang menjalankan tugas, Karim Hj Elias”.

Menangis si Salmah, kau tahu. Apa melalut aku bagi contoh ini, hahaha. Aku nak cakap, orang dulu kalau buat diari, orang sembunyikan. Diari mengandungi benda-benda private, wajarlah untuk dielakkan dari mata awam dari membacanya. Berlari menangis si perempuan tadi takut rahsianya jadi pengetahuan am satu kelas. Tapi sekarang,amboiiiii… Kita bangga untuk bagitahu semuanya. Semua dicanang dalam media sosial, tak kisahlah benda penting atau tak penting. Apa tujuan semua ini?

(Lagi sekali, sebelum aku dikritik, bab-bab ini pun aku tak buat. Dulu aku akui, kalau aku ada 10 hal yang tidak mendatangkan sebarang hasil pun kalau aku bagitahu orang, aku akan kongsi 4 di sosmed. Sekarang, mukabuku aku kalau tengok wall, penuh dengan perkongsian video-video lawak untuk buat orang gelak atau mesej yang aku rasa berguna untuk orang tengok/baca. Muka aku ja yang aku tak dapat nak selitkan mesej-mesej baik, selain dari senyum). #cewaaahh #senyumitusunnah

3) Bertuhankan selebriti bangang. Maksudnya, generasi sekarang yang mereka puja, agung-agungkan secara fanatik adalah selebriti bangang yang entah apa-apa. Kita ambik contoh selebriti-selebriti sosmed di negara kita. Dan sebelum aku bagi contoh, aku nak ingatkan ja, aku bukan suruh pembaca witch hunt si selebriti. Aku cuma kecam apa yang aku rasa salah, dan tegur apa yang aku rasa tidak betul.

Antara selebriti terkenal di Malaysia, ada seorang ini. Nama dia Qoqo Kerang. Qalqalah tu. Kenapa dia terkenal? Sebab slank dia itu cakap macam orang puteh jugak lah.(Berapa ramai yang baca ayat sebelum ni dengan slank Qoqo?) Which is obviously fake, of course. Haaaa, aku yang melayu pun boleh cakap London, kau tahu. Wei, claim keluarga mix banyak macam, tapi dalam banyak-banyak mix tu, tidak mengandungi mix gene mad sailor (mat saleh lah…Dikatakan orang puteh dulu datang rantau kita guna kapal laut,dah tu kuat minum. Jadi kawan-kawan sesama mat saleh tadi kata mad sailor. Orang melayu dengar mat saleh #pengetahuanambersamakucingkurap). Aku tak hentam lah pasal sebutan tak betul, aku rasa dah bagus dia belajar bahasa lain. Dan kamon lahhhhhh, gaiissss… Bagi aku hentam pasal sebutan orang tak betul agak kebudak-budakan. Aku cuma kata, dia mengada-ngada lah nak speaking macam mat saleh. Ada lagi yang lain, macam lawa ja, macam lawa ja. Tu pun jadi terkenal sekarang, siap ada lagu lagi dengan lirik tu.

Bukan orang kita ja – orang putih pun buat benda yang sama. Budak perempuan ‘Catch Me Outside How Bow Dah’ tu, perangai kurang ajar. Macam mana boleh jadi terkenal macam tu? Generasi sekarang macam jadikan trend untuk jadikan orang yang memang tidak ada apa-apa bakat yang besar, yang positif, untuk jadi model contoh.

KONKLUSI

Kenapa aku letak poin ke3 sebagai ‘BERTUHANKAN’?

Sebab untuk orang Islam, dalam sembahyang, kita ada baca, hidup dan matiku hanya untuk Allah. Sekarang ini, apa yang terjadi dalam masyarakat, generasi kita, macam yang aku cakap dalam poin ke2, perjalanan HIDUP semuanya direkodkan dalam SOSIAL MEDIA. Kita tidak lagi memerlukan seorang lelaki/wanita untuk diupah bagi mencatat setiap kejadian penting dalam hidup kita (biography) kerana memang dari lahir lagi, kita sudah ada akaun FB untuk menceritakan segala apa yang terjadi, hatta berak dalam seluar sekalipun. (Memandang pada artis-artis, mak bapak yang dapat ja anak, terus buat akaun FB, batuk, batuk). Dengan sosial media, aku rasa hati dan minda kita lebih cepat MATI. Buktinya, poin nombor 1, kita terus-menerus mereka ilusi kasih-sayang, penghargaan yang pada hakikatnya, kosong. Ilusi dicipta hanya untuk memberi rasa ‘feel good’ dengan likes dari sesiapa sahaja.

Aku penat nak taip lagi panjang, walaupun banyak lagi aku nak utarakan.

DISCLAIMER

Aku bukan suruh korang tak post apa-apa lagi dalam sosmed. Tapi fikir-fikirlah, apa tujuan dan kebaikan benda kita nak kongsi. Aku faham ja kalau nak kongsi sekali sekala, tetapi hampir sepanjang masa, bodoh kah apa. Maaf kasar sikit, tapi kalau kau rasa benda ni tak bodoh, tinggalkan sosmed dan buat secara manual, jumpa kawan-kawan, bagitahu pasal semua yang kau lalui dalam sehari.

Sama-sama kita saling beringat. Maafkan andai terguris hati.

– Kucing Kurap

Anda ada cerita yang ingin dikongsikan? Sila hantarkan confessions anda disini
Advertisement
 

Start typing and press Enter to search