Apa Bakti Terakhir Buatmu Ayah - IIUM Confessions - Share your secret stories

Apa Bakti Terakhir Buatmu Ayah

- 8:22 am
Suatu hari, tempat kerjaku menganjurkan kursus wasiat . Kesimpulan dari kursus tu, saya dapat pelajari:

1. Kita dianjurkan membuat sedekah jariah yang akan memberi manafaat kepada kita walaupun setelah mati selagi harta itu dimanafaatkan oleh orang hidup dan ia umpama pencen kubur.

2. Antara sedekah jariah ialah seperti bersedekah kepada pembinaan pusat tahfiz, masjid dan lain-lain.

3. Kita boleh mewasiatkan harta kita untuk tujuan sedekah tidak melebihi nilainya 1/3 daripada harta yang ditinggalkan.

Semasa kursus ini, saya teringatkan ayah saya yang sekarang semakin uzur, seorang bekas guru yang mempunyai aset-aset yang jumlahnya bila dicampur-campur agak besar juga bagi seorang guru lama macam dia . Ayah saya pernah juga menyebut-nyebut untuk menjual sebahagian tanahnya untuk disedekahkan bagi membina masjid yang sampai hari ini belum jadi kenyataan. Jadi saya rasakan inilah peluang untuk saya beri kesedaran kepada ayah saya supaya membuat wasiat bagi menyedekahkan tidak lebih dari sepertiga hartanya dalam bentuk sedekah jariah. Memang sedekah masa hidup lebih utama dari selepas mati, tapi lebih baik dari tak ada langsung.

Apa Bakti Terakhir Buatmu Ayah
Apa Bakti Terakhir Buatmu Ayah
Mengingatkan ayah yang uzur, tidak sabar rasanya nak beritahu ayah tentang hal ini. Selepas kerja saya terus ke rumah ayah. Lalu saya ceritakan tentang wasiat tadi. Sekiranya semua harta difaraidkan kepada pewaris, memang ayah tetap akan mendapat pahala. Tetapi kalau sebahagiannya boleh disedekahkan sebagai sedekah jariah, terutama kepada pusat-pusat tahfiz yang saban tahun menghasilkan ulama dan agamawan, pahala akan terus mengalir kepada ayah.

Ustaz penceramah berpesan, sukar untuk sang ayah mengharapkan anak-anak akan sedekahkan faraid yang diterima bagi pihak ayah. Banyak kes, janji tinggal janji je bila masing-masing dapat bahagian masing-masing. Walaupun mungkin dah bersepakat sebelumnya untuk sedekahkan sebahagian bagi pihak ayah, akan ramai yang saling menolak. “Abang je la sedekah bahagian abang, saya ni banyak komitmen.. bla…bla…bla…” . 

Teringat pesan ustaz lain, bab- bab harta ni, kita sendiripun kedekut nak sedekah untuk diri kita sendiri, apa lagi nak sedekah untuk orang lain, walaupun untuk ibubapa. Jadi kesimpulannya harta kita, kita sendiri yang sedekahkan semaksimum yang dibolehkan.

Lalu saya nasihatkan ayah supaya tuliskan wasiat dengan kadar segera kerana pesan penceramah tadi, wasiat akan jadi sah walaupun kita tulis biasa-biasa je dengan disaksikan oleh seseorang. Masa tu mak saya ada, lalu saya panggil beliau dan beri penerangan sedikit dan minta beliau jadi saksi. Saya beritahu ayah, nanti kita akan susuli dengan wasiat yang rasmi.

Lega rasa dihati apabila selesai, sesekali terfikir kenapa saya beria-ia sangat, adakah saya ada apa-apa kepentingan, risau pula disalah erti oleh adik beradik lain sebagai memandai-mandai. Ya lah, hakikatnya wasiat itu akan mengurangkan hak pewaris termasuk saya sendiri, apa lagi ayah berwasiat untuk memilih rumahnya yang besar juga nilainya untuk dijual dan diinfakkan ke pusat tahfiz.

Namun, rasa sayang kepada ayah mengatasi kepentingan peribadi. Ditambah pula ayah bercerita serba sedikit menggambarkan bukan mudah untuk dia kumpulkan harta sebegitu dengan gaji kecil sahaja guru pada zaman dahulu. Jadi sangat wajar ayah mendapat manafaat jariah dari harta kumpulan jerih payahnya sendiri. Lagi pula, alhamdulillah kami tujuh beradik masing-masing sudah punya kerjaya sendiri yang stabil.

Pada saya, inilah salah satu cara untuk membantu ayah saya bila berada di alam sana. Jadi dengan persetujuan ayah, saya kemudian telah meminta pihak syarikat wasiat membuat wasiat rasmi supaya ianya lebih rasmi dan tidak menimbulkan salah faham di kemudian hari. Dan suatu yang tidak saya sangka, disamping wasiatkan sepertiga hartanya untuk sedekah jariah, ayah juga minta untuk dituliskan wasiat bahawa dia mahukan harta untuk warisnya di bahagikan sama rata antara anak-anaknya samada lelaki atau perempuan. 

Dalam keadaan dia sedar bahawa ini perlu kepada syarat persetujuan anak-anaknya yang lelaki malah dia sempat sampaikan hasrat ini secara lisan kepada salah seorang anak lelakinya. Perkara ini terserahlah kepada adik beradik saya yang lelaki untuk bersetuju atau tidak dikemudian hari tapi gitulah kehendak ayah yang mungkin menggambarkan sayangnya yang sama rata kepada anak-anak tanpa menafikan ketentuan syariat.

Setelah beberapa bulan wasiat ini berlangsung, kini ayah sudah bersemadi di sana. Semoga usahaku yang sedikit ini dapat membantu memberikan kebahagiaan ayah di alam sana dengan mendapat pahala sedekah jariah. Selamat jalan ayahku, semoga Allah mengampuni, merahmati, memaafkan dan mendamaikan mu di sana.

– PEMBURU JARIAH

Ingin menghantar confessions anda? Sila klik disini
Advertisement
 

Start typing and press Enter to search