Kisah ku Mencari AlQuran - IIUM Confessions - Share your secret stories

Kisah ku Mencari AlQuran

- 11:57 pm
Assalamualaikum, Hai kat sini aku nak berkongsi satu pengalaman hidup tentang jalan aku mengenal al-Quran. Tujuan aku berkongsi kisah ini adalah untuk dijadikan motivasi dan penguat semangat bagi mereka yang ingin mempelajari al-Quran. Ramai antara kita yang mula mendapat pendidikan al-Quran bermula sejak dari kecil lagi. Belajar mengenal huruf, baris, hukum tajwid, malah ada yang berjaya khatam 2 atau 3 kali sambil diraikan di majlis-majlis perkahwinan, marhaban dan sebagainya. Itulah tradisi masyarakat Islam kita di Malaysia. Kebanyakkan ibu bapa sememangnya menghantar anak-anak mereka ke rumah ustaz atau ustazah untuk mempelajari al-Quran walaupun diri mereka sendiri tidak tahu membaca al-Quran dengan baik.

Walau bagaimanapun kisah aku ini agak berbeza. Aku dilahirkan dengan latar belakang keluarga yang biasa-biasa sahaja. Aku dihantar oleh ibu bapaku ke rumah ustazah untuk mempelajari al-Quran sejak di bangku sekolah rendah lagi. Aku diajar mengenal huruf dan baris dengan menggunakan kitab muqaddam yang lazim digunakan oleh kanak-kanak sebayaku. Namun malangnya aku tetap tidak tahu membaca hatta mengenal baris sekalipun. Mungkin padaku belajar al-Quran merupakan sesi yang sangat membosankan. Akhirnya aku mendesak ibu bapaku untuk berhenti menghantarku belajar mengaji di rumah ustazah atas alasan :

1) Nak buat kerja sekolah dan mengulang kaji (padahal banyak main)

2) Boleh belajar mengaji dengan ayah (kadang-kadang cabut p tengok tv)

Keadaan seperti ini berlarutan sehinggalah aku menganjak ke tingkatan 2. Aku masih tidak tahu membaca al-Quran mahu pun mengenal baris, tajwid janganlah ditanya. Namun ketika itu aku tergerak hati untuk meminta ibuku mengajar aku untuk mengenal baris kerana peperiksaan bagi sekolah rendah agama kian hampir. Aku tidak mahu malu bila berhadapan dengan ustazah kerana tidak mengenal baris al-Quran. Aku juga malu bila kawan-kawan sering bercerita bahawa mereka telah khatam al-Quran dan aku? Jangankan khatam, baris pun tidak tahu untuk menyebutnya! Haha.. Lantas ibuku mengajar aku mengenal baris untuk beberapa bulan.

“Alif baris atas Aaa, Alif baris bawah Iiii, Alif baris depan Uuu”

Itu sajalah pengetahuan aku pada usia 14 tahun. Aku hanya mahu belajar untuk mengelak rasa malu jika diuji ustazah dan bukannya ikhlas kerana Allah. Aku hanya kenal baris dan ilmu tajwid aku ke laut, totally zero. Bagi aku belajar al-Quran sesuatu yang membosankan. Bila mendengar Qari-qari tua membaca dengan bertarannum lantas mengalir air mataku kerana mengantuk! Bosan!

Kisah ku Mencari AlQuran
Kisah ku Mencari AlQuran
Kehidupan aku berubah ketika aku di penghujung tingkatan 2. Ketika itu akhir Ramadan dan aku sedang mencari siaran radio yang memutarkan lagu raya. Yalah nak ambil semangat raya walaupun aku tak pernah solat dan berpuasa kerana upah ayah dan adat semata haha. Tiba-tiba aku terbuka satu siaran radio yang sedang memutarkan alunan suara orang membaca al-Quran. Aku terkesima. Bagaikan hati ini terpanah dengan kemerduan suara qari tersebut.

“Sungguh merdu dan mendayu bacaan qari ni. Tidak pernah aku mendengar alunan bacaan semerdu ini!” bisik hati kecilku.

Aku terus duduk dan mendengar bacaan tersebut. Pada waktu itu merupakan waktu asar. Aku mendengar sehingga habis. Selepas habis bacaan al-Quran itu, aku masih tertanya—tanya tentang empunya suara itu dan nama siaran radio yang aku dengar tadi. Aku terus tetap mendengar siaran radio itu hari demi hari. Owh rupanya radio ini ialah Radio IKIM.fm dan empunya suara qari itu dimilikki oleh Syaikh Saad Said al-Ghamidi iaitu seorang imam dari Arab Saudi. Siaran radio itu terus menjadi halwa telingaku setiap hari.

Jika sebelum ini aku minat genre muzik seperti Linkin Park, Westlife, Michael Jackson dan artis tempatan seperti Wings, Search, dan Sudirman, kini aku meminati dunia nasyid seperti In Team, UNIC, Mestica dan lain-lain. Ini kerana radio ini berkonsepkan Islami dan sering memutarkan lagu-lagu nasyid. Pada waktu itu nama-nama kumpulan nasyid yang aku sebutkan tadi sedang melonjak naik.

Kehidupan aku berubah 360 darjah. Aku mula melaksanakan solat fardu dan berpuasa kerana kewajipan sebagai seorang muslim. Aku mula minat membaca al-Quran walaupun merangkak dan tergagap-gagap. Tajwid aku memang kelaut. Aku belajar mengikut rentak alunan syaikh tersebut. Waktu tu bukanlah zaman mudah untuk mendapat kemudahan internet dan wi-fi. Tidak ada youtube atau website untuk download bacaan-bacaan al-Quran syeikh tersebut. Aku hanya bergantung dengan siaran radio IKIM. Biasanya aku dengar pada waktu subuh sebelum ke sekolah, selepas azan juga biasa diputarkan bacaan al-Quran, dan pada waktu tengah malam tepat jam 12 lazimnya diputarkan bacaan al-Quran yang agak panjang dan disudahi dengan zikir-zikir. Sememangnya aku hanya belajar sendiri dan tidak ada bimbingan dari sesiapa pun. Cara aku belajar ialah dengan mendengar dari radio dan kemudian aku akan buka al-Quran untuk ikut cara bacaannya. Contohnya jika Dj memainkan bacaan surah al-Imran ayat 1 hingga 30, maka aku akan segera membuka al-Quran dan ikut cara bacaan persis seperti cara bacaan Syeikh Saad Said.

Ketika aku di tingkatan 3, aku ada membeli cd bacaan al-Quran Syeikh Saad Said. Di dalam kandungan cd itu ada beberapa surah iaitu Surah al-Kahf, Surah Ibrahim, Surah ar-Raad dan Surah at-Talaq. Setiap hari selepas aku pulang dari sekolah, aku akan memainkan cd dan dengar berulang-ulang kali. Pada satu hari aku cuba membuka al-Quran untuk membaca surah al-kahf dan Surah at-Talaq. Berbelit-belit lidah aku untuk menghabiskan setiap kalimah arab yang ada. Aku merasa kecewa dan sedikit putus asa. Walau bagaimanapun rutin harianku mendengar alunan bacaan syeikh tetap berjalan seperti biasa kerana itulah sumber ketenanganku. Lama kelamaan tanpa aku sedari Surah al-kahf telah aku hafal kira-kira 50 ayat dan Surah at-Talaq sepenuhnya dalam kepalaku. Lenggok bacaan saling tidak ubah seperti cara bacaan syeikh. Pada penghujung tingkatan 3, ayahku meninggal dunia. Selepas pemergian ayah, ibuku bercerita bahawa arwah ayah pernah meluahkan perasaan gembira kepada ibu atas perubahan diriku ini.

Ketika aku masuk tingkatan 4, aku masih tidak tahu hukum tajwid. Namun bacaanku semakin lancar pada surah-surah tertentu seperti surah al-kahf, surah at-talaq, surah luqman, surah yasin, surah an-naba, surah an-naziaat, surah abasa dan surah-surah lazim yang lain. Walaupun tajwid aku hancur dan zero namun aku lancar mengalunkan bacaan surah-surah yang aku senaraikan tadi. Sewaktu pertengahan tingkatan 4, seorang ustazah masuk ke kelasku untuk menggantikan guru lain yang tiada kerana ada urusan lain. Waktu itu ustazah mengajar tajwid dalam tempoh sejam. Dan buat julung-julung kalinya aku faham keseluruhan pengajaran yang disampaikan ustazah itu. Itulah pertama kali aku faham hukum-hukum seperti Izhar, Ikhfa, Idgham, Iqlab dan lain-lain. “Laaa kacang jer rupanya..” fikirku.

Kefahaman aku terhadap tajwid bertambah apabila aku mengaplikasikannya dalam bacaan al quranku setiap hari. Walau pun hanya tajwid yang asas tetapi aku merasa gembira kerana mendapat ilmu yang baru. Soalan-soalan tajwid dalam peperiksaan Agama Islam pun aku dapat jawab dengan mudah kerana aku mengaplikasikannya setiap hari. Selepas tamat persekolahan aku menyambung pelajaran di salah sebuah unversiti di utara tanah air. Aku adalah juga mengajar teman-teman rapat sekadar yang aku termampu. Tamat sahaja pengajian, aku menjalani skim latihan SL1M di Tabung Haji. Setiap hari kami akan mengaji bersamanya dibacakan terjemahan dalam bahasa Melayu. Pengurus Tabung Haji pada ketika itu sentiasa menyuruhku untuk memimpin bacaan al-Quran. Berbisik hatiku, “andai mereka tahu bagaimana aku mulai semua ini…”.

Inilah kisahku. Aku belajar dengan mengharungi pelbagai suasana. Tidak sempurna tetapi jika ada tekad kesungguhan Allah akan mudahkan perjalanan. Kini aku masih mendampingi al-Quran. Aku mengikuti kelas pengajian al-Quran dewasa. Walau pun dikelilingi mak cik-mak cik yang sudah separuh abad usianya namun akan aku teruskan pembelajaran demi Tuhan. Sepanjang perjalanan ini aku selalu terinspirasi dengan hadis nabi ini:

“Aisyah radhiyallahu ‘anha meriwayatkan bahwa Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Seorang yang lancar membaca Al Quran akan bersama para malaikat yang mulia dan senantiasa selalu taat kepada Allah, adapun yang membaca Al Quran dan terbata-bata di dalamnya dan sulit atasnya bacaan tersebut maka baginya dua pahala” (HR. Muslim)
Maksudnya meskipun kita mengalami kesukaran dalam membaca al-Quran tetap diberi ganjaran dua pahala. Pahala yang pertama adalah kerana bacaan al-Quran kita manakala ganjaran yang kedua adalah kerana kepayahan kita membacanya. Lihatlah sifat rahmat Allah terhadap hamba-Nya.

Kesimpulan dari kisah ini ialah janganlah kita pernah rasa terbeban dan berputus asa dengan al-Quran. Kita mempunyai latar belakang yang berbeza. Ada insan yang mungkin hanya mengenali agama dari usahanya sendiri. Ada juga yang sudah terdidik sejak kecil lagi. Namun Allah Maha Adil, Dialah yang memberi kebaikan kepada sesiapa sahaja yang dikehendaki-Nya. Ada yang pada mulanya baik tetapi pengakhirannya tersesat di persimpangan, begitu juga sebaliknya. Wallahu’alam.

– Mencari Kemanisan

Ingin menghantar confessions anda? Sila klik disini
Advertisement
 

Start typing and press Enter to search